Pada 21 Julai 2026, Persatuan Penterjemah Malaysia telah mengadakan satu Sesi Libat Urus Ujian Pentauliahan Penterjemah di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Sesi ini dihadiri oleh wakil pemegang taruh yang mempunyai kepentingan dalam industri penterjemahan di Malaysia, yang bertujuan untuk mendapatkan maklum balas praktikal bagi memastikan Sistem Pentauliahan PPM relevan dengan keperluan sebenar industri dan kebolehterimaan sistem oleh pengguna perkhidmatan terjemahan serta impaknya kepada sektor awam, swasta dan akademik. Maklum balas pihak pemegang taruh ini juga penting bagi mengukuhkan legitimasi dan kredibiliti sistem sebelum pelaksanaan rasmi, mengurangkan risiko penolakan industri terhadap pelaksanaan sistem baharu, dan pada masa yang sama menyokong aspirasi PPM sebagai badan profesional pengawal selia amalan penterjemahan di Malaysia.
Wakil jabatan, agensi kerajaan, institut pengajian tinggi dan syarikat persendirian khidmat bahasa dan terjemahan yang hadir untuk sesi libat urus ini adalah daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia; Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI), Kementerian Seni, Pelancongan dan Budaya Malaysia (MOTAC), Kementerian Komunikasi Malaysia (RTM), Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, BERNAMA, SIRIM Berhad, dan Filem Nasional (FINAS).
Wakil lain yang hadir adalah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Penerbit USM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Persatuan Linguistik Malaysia PLM), Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Persekutuan Orang Pekak Malaysia/Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia, dan wakil syarikat yang menawarkan khidmat penterjemahan secara profesional.
Sesi yang berlangsung selama dua (2) jam ini turut memuatkan pengenalan ringkas berkaitan dengan Kerangka Pentauliahan Penterjemah oleh Presiden PPM, Dr. Hasuria Che Omar diikuti dengan penjelasan oleh Profesor Madya Dr. Mohamed Zain Sulaimen (Jawatankuasa Pentauliahan) tentang Ujian Pentauliahan Penterjemah yang bakal diadakan. PPM menjangkakan pada awal 2027, nama calon yang lulus Ujian ini akan tersenarai dalam Daftar Penterjemah Bertauliah PPM, yang akan menjadi rujukan penting kepada agensi kerajaan, perniagaan dan masyarakat umum untuk mendapatkan perkhidmatan penterjemahan yang profesional dan dipercayai daripada penterjemah bertauliah. Secara umum, proses pentauliahan ini bertujuan untuk memastikan bahawa penterjemah memiliki pengetahuan, kemahiran dan kecekapan profesional yang diperlukan untuk menyediakan khidmat penterjemahan yang berkualiti. Melalui pentauliahan ini juga, bidang penterjemahan dapat diiktiraf sebagai satu kerjaya yang profesional yang memerlukan penilaian yang rasmi, beretika dan memerlukan pembangunan profesional secara berterusan. Penterjemahan merupakan satu kerjaya yang istimewa yang didasari oleh pengetahuan akademik, kemahiran teknikal dan etika profesional. Oleh itu, keperluan untuk mendapat pentauliahan itu sangat penting.
Maklum balas yang sangat positif diperoleh semasa sesi perbincangan dan PPM turut mendapat perakuan sokongan dan kerjasama daripada pihak pemegang taruh untuk usaha pentauliahan ini. Ujian Pentauliahan Penterjemah ini dijangka bermula pada September 2026.
Persatuan Penetrjemah Malaysia












